Hidup untuk Memberi

Majoriti manusia mendambakan kesenangan dari segenap sudut kehidupan. Keinginan untuk memiliki keluarga bahagia, bercita-cita kepada anak-anak yang berjaya serta soleh malah berimpi kehidupan mewah tiada masalah. Semua itu tampak mudah namun sebenarnya sangat perlu kepada mujahadah. Allah menerangkan sedari awal helaian qalam menerusi surah Al-Baqarah ayat 3 berkenaan membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki. Tanpa disedari, itulah tips sebenar untuk hidup senang iaitu dengan memberi tanpa mengharapkan balasan. Menerusi ayat tersebut, Allah menceritakan tentang memberi nafkah atau infaq. Walaubagaimanapun, bukan sekadar itu yang Allah ingin terangkan. Jauh daripada itu Allah memberikan gambaran tentang jiwa orang yang memberi nafkah atau membelanjakan hartanya ke jalan Allah sebagai tanda taat, takut dan harap kepadaNya.

Hamba yang tahu berinfaq adalah hamba yang sedar bahawa rezeki yang ada di tangannya adalah daripada Allah. Sebab itu, terkadang seseorang itu rasa berat untuk memberi kerana percaya setiap yang diperoleh adalah hasil titik peluh serta penat jerihnya. Maka, sangkanya adalah wajar baginya menakluki setiap hasil keringatnya secara keseluruhan. Sedangkan, adakalanya sebelum harta tersebut diperolehi individu tersebut tahu bahawa sebahagian daripada harta tersebut perlu untuk di infaqkan, namun saat ia sudah ada benar-benar dalam genggaman segala pengetahuan tentang infaq dilupakan. Disebabkan kealpaan tersebut, maka timbut beberpa syarat hanya untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta tersebut sebagai infaqnya ke jalan Allah SWT.

Allah berfirman mafhumnya, “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195). Sesungguhnya setiap yang dimiliki adalah pinjaman semata. Perlu kepada kesedaran di balik harta-harta tersebut ada pemilik mutlak iaitu Allah SWT.

Dikhuatiri, sifat bakhil itu bukan sekadar kepada masyarakat tetapi juga terhadap kedua ibubapa dan kerabat terdekat. Seharusnya belajar daripada peristiwa Qarun di zaman Nabi Musa AS. Contoh seorang manusia yang telah dimabukkan dengan harta benda sehingga tidak merasa sedikit pun bahawa dia mempunyai kewajiban sosial dengan harta kekayaannya itu. Segala nasihat dan peringatan telah di berikan oleh orang-orang sekeliling tetapi Qarun semakin galak menonjolkan serta mempamerkan cara hidup mewahnya secara berlebih-lebihan.

Tidak timbul sedikitpun rasa belas kasihan terhadap insan yang melarat dan sengsara yang memerlukan pertolongannya. Qarun terlalu yakin dan sombong menyatakan bahawa setiap yang di perolehi adalak milik mutlaknya atas kepandaian yang ada padanya. Keangkuhan itu jelas dinyatakan di dalam al-quran: “Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah Al-Qasas, ayat 78)

Lebih menjengkelkan apabila dia bukan sekadar melanggar perintah Allah untuk berzakat malah menghina Nabi Musa AS sehingga Allah membenamkannya beserta harta-hartanya sepertimana yang termaktub di dalam al-Quran, Allah berfirman mafhumnya, “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.” (Surah Al-Qasas, ayat 81). Itu adalah percontohan terbaik yang Allah telah nyatakan dengan jelas pengajarannya sepertimana firmanNya, “Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!” (Surah Al-Qasas, ayat 82).

Konteks memberi itu sanggat luas dan tidak hanya tertumpu kepada harta dan wang ringgit semata. Khusyuk dalam solat juga sebahagian daripada memberi. Begitu juga dengan menolong orang yang di anggap sebagai sedekah sepertimana sabda Rasulullah SAW “..engkau menolong orang lain mengangkat barang ke atas kenderaannya adalah sedekah” (HR al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang lelaki menemui ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak menggangu orang-orang muslim”, kerana itu dia dimasukkan ke syurga.” (HR Muslim). Rasulullah SAW juga bersabda lagi yang diriwayatkan oleh sahabat Abu Dzarr al-Ghifari RA. mengatakan: “Jangan sekali-kali engkau meremehkan perbuatan baik sekecil apapun, meskipun perbuatan itu berupa engkau menemui saudaramu dengan wajah yang ceria (dengan senyum)”.(HR Muslim). Sesungguhnya, Rasulullah sangat memotivasikan umatnya agar hidup untuk memberi.

Justeru, didiklah hati agar pandai bersyukur kerana dari situ akan lahirnya sifat suka memberi yang dianggap sedekah di sisi Allah SWT. Mulakan dengan yang kecil dan berdikit satu masa ia akan menjadi besar. Memberilah walau tidak ikhlas kerana lama-kelamaan ia menjadi penyebab lembutnya hati dan seterusnya menyemat ikhlas dalam memberi.

Norhayati Paradi